Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Subang Bestari ditubuhkan pada 1 November 2002.  Ianya merupakan satu detik bersejarah bagi kawasan Subang Bestari khasnya dan kawasan yang berdekatan kerana wujudnya sekolah yang tersergam indah ini. Pada tarikh ini juga Puan Penolong Kanan, iaitu Pn. Sapiah bt. Jaffar yang merupakan Penolong Kanan yang pertama telah menerima kunci bangunan sekolah sebagai tanda wujudnya sebuah institusi pendidikan di kawasan Subang Bestari ini. Beliau yang menjadi perintis mentadbir sekolah ini sebelum kedatangan guru besar iaitu sehingga 19 Mei 2003. Dibantu oleh Penolong Kanan HEM iaitu En. Abd Rahman b. Mohamed.

Sekolah yang mempunyai empat bangunan dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, disamping tenaga pendidik yang bersemangat jitu, bersedia menyahut cabaran mendidik anak bangsa dan mencurahkan bakti kepada masyarakat di sekelilingnya. Penggal persekolahan pertama bermula dengan guru yang seramai 24 orang. Dengan berbekalkan kemudahan asas yang serba kekurangan, guru-guru tetap bersemangat menyambut kedatangan murid seramai 400 orang dan berazam menabur bakti mendidik anak-anak bangsa kearah kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun sahsiah.

Kini usia Sekolah Kebangsaan Subang Bestari  telah menjangkau 9 tahun mewarnai dunia pendidikan. Dengan tenaga pengajar seramai 146 orang dan murid yang menjangkau bilangannya 3060 orang Sekolah Kebangsaan Subang Bestari telah membawa kecemerlangan yang meningkat setiap tahun dalam pencapaian UPSR dan sukan. Seluruh warga sekolah berazam dan berjanji bahawa Sekolah Kebangsaan Subang Bestari tidak akan berhenti di sini, malah akan meneruskan langkahnya untuk melengkapi diri menjadi Sekolah yang cemerlang dan terbilang di daerah Petaling Perdana.

Update : 19 Feb 2012